Skip to main content

Biasiswa JPA dan MARA


TARIKH TUTUP
Mac 18, 2008

TAWARAN BIASISWA PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA (PILN) 2008 KEPADA LULUSAN SPM 2007
Pada setiap tahun, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara di peringkat Ijazah Pertama. Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2008 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.

Sejajar dengan pelaksanaan RMK9 dan pembangunan modal insan dalam bidang yang terpilih, kerajaan telah menambah bilangan biasiswa sebanyak 200 tempat. Ini menjadikan jumlah keseluruhan bilangan biasiswa yang disediakan bagi tahun 2008 adalah sebanyak 2,000 tempat. Jumlah peruntukan yang akan dibelanjakan oleh kerajaan bagi membiayai 2,000 pelajar sepanjang tempoh pengajian adalah dianggarkan sebanyak RM 1.74 bilion.

Maklumat dan syarat asas untuk Program Ijazah Luar Negara adalah seperti berikut:
·Terbuka untuk calon lepasan SPM yang memperolehi keputusan cemerlang
·Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2007
·Calon perlu melalui proses temuduga, dan
·Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat- pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.

Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa kerajaan/JPA adalah seperti berikut:
·Pencapaian akademik
·Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum
·Prestasi temuduga, dan
·Sosio-ekonomi / Latarbelakang keluarga.

Kaedah permohonan adalah sepenuhnya secara on-line (atas talian) melalui portal www.jpa.gov.my dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2008 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2007 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2007, seramai 439,225 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 438,132 orang pada tahun 2006.

Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2008 lebih kompetitif. Ini kerana pada tahun 2007, JPA telah menerima sebanyak 12,499 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 746 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua matapelajaran SPM tahun 2006. Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala itu, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:
·Kriteria pemilihan - peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred 1A bagi 9 mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred 1A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;
·Kursus/bidang - selain perubatan, terdapat banyak lagi bidang kritikal yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Senibina dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;
·Pilihan kursus ­ calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;
·Negara - penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan sepertimana mereka yang bergraduat daripada Ireland atau United Kingdom.

Iklan tawaran akan diisiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar- akhbar utama tempatan pada 9 hb, 10 hb, 12 hb dan 16 hb Mac 2008 dan calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2008 yang akan mula dibuka pada 9 Mac 2008.

Permohonan secara atas talian (on-line) boleh dibuat mulai tarikh keputusan SPM 2007 diumumkan secara rasmi.

Mulai tahun 2007, JPA melaksanakan ketetapan bajet untuk memberi pertimbangan khas calon yang cemerlang di dalam SPM dan berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Bagi calon yang mendapat 10 1A dan memenuhi syarat-syarat PILN serta syarat pendapatan keluarga tidak melebihi RM1500 sebulan akan ditawarkan biasiswa secara automatik. Walau bagaimanapun, calon masih perlu mematuhi peraturan dan kriteria PILN dan melalui proses temuduga seperti calon-calon lain.

Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara- negara berkenaan. Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac 2008 di hospital-hospital kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.

Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan tajaan ke universiti-universiti di luar negara.

PENUTUP
Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa kerajaan yang diuruskan oleh JPA.

Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa ianya tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.

Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, JPA berpendapat PILN 2008 akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan turut berusaha untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain. Di samping itu, calon-calon yang tidak berjaya mendapat biasiswa di bawah PILN masih berpeluang untuk mendapat tajaan JPA di IPT dalam negara.

Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-88853412 (5 talian) mulai 10 Mac 2008 ataupun hadir sendiri di kaunter-kaunter Bahagian Latihan, JPA sempena Program JPA Bersama Pelanggan pada setiap hari Jumaat terakhir setiap bulan bertempat di Lobi, Blok C2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Download
- Syarat-Syarat Permohonan Tajaan JPA Dan MARA Untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Di Bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2008.
- Struktur Pengajian Program-Program Tajaan JPA Dan MARA Untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Di Bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2008.
- Panduan Permohonan Tajaan JPA Dan MARA Untuk Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Di Bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2008.
- Borang Pengesahan Pendapatan Bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2008.

Link: http://esila.jpa.gov.my/portaljpa.php